INOKOM TINJAU JADI HAB PENGELUARAN SERANTAU

Kerja -kerja pemasangan enjin BMW di Sime Darby Motor Inokom Corporation, Kulim.

KULIM: Sime Darby Motors Sdn Bhd (SDM), sedang berunding dengan beberapa peserta automotif global untuk menjadi rakan hab pengeluaran serantau di kilang pemasangan syarikat 51 peratus miliknya, Inokom Corp Sdn Bhd dekat sini.

Pengarah Urusan Malaysia, Taiwan dan Thailand SDM, Dennis Ho, berkata ketika ini, syarikat itu sedang mengadakan rundingan dengan lebih daripada dua peserta automotif terkenal, dengan keputusan rundingan terbabit dapat diketahui akhir tahun ini.

Katanya, jika rundingan dimuktamadkan, ia akan menjadi pencetus perubahan kepada pencapaian SDM, sekali gus membuka ruang kepada syarikat untuk meluaskan rangkaian pemasangan jenama automotif di Inokom.

“Rundingan bersama lebih dua jenama terkenal dunia masih diteruskan. Mereka memiliki rangkaian penuh produk yang berpotensi menjadikan kilang pemasangan Inokom sebagai hab pemasangan di ASEAN,” katanya pada lawatan media di kilang pemasangan Inokom di sini, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Pengarah Urusan Inokom, Mohd Rizal Jailan.

SDM memiliki pegangan sebanyak 51 peratus dalam Inokom sejak 2004.

Mengulas lanjut, Ho berkata, SDM memiliki kepakaran dan keupayaan untuk menjadi rakan pengeluaran automotif bersandarkan kemampuan dan kredibilitinya memasang beberapa model jenama terkemuka seperti BMW, MINI, Hyundai dan Mazda.

Katanya, SDM juga masih memiliki simpanan tanah belum dibangunkan berkeluasan 36.4 hektar bagi pembangunan masa depan dan bercadang menggunakan 20.2 hektar daripadanya untuk dibangunkan sebagai kilang pemasangan baharu jika perjanjian dengan rakan automotif terbabit dimuktamadkan.

“Kilang pemasangan Inokom memiliki keluasan keseluruhan 80.9 hektar dengan 44.5 hektar sudah dimajukan sebagai kilang pemasangan beberapa model dan kilang pemasangan enjin BMW oleh Sime Darby Auto Engineering (SDAE).

“Dalam masa tiga tahun akan datang, kami akan majukan 20.2 hektar simpanan tanah ini sebagai kilang pemasangan dan akan meningkatkan pelaburan sekiranya perjanjian dengan jenama automotif terkemuka dapat dimeterai,” katanya.

Ketika ini, kilang pemasangan Inokom menghasilkan lapan model BMW iaitu 3 Series, 5 Series, 6 Series, 7 Series, X1, X3, X4 dan X5 serta satu model MINI iaitu Countryman.

Selain itu, kilang terbabit turut memasang kereta Hyundai termasuk model Elantra, Tucson dan IONIQ serta kenderaan utiliti sukan (SUV), Inokom Santa Fe.

Bagi model Mazda pula, kemudahan di Kulim itu memasang model CX-5.

Ia pernah memasang trak komersial, Inokom Lorimas dan Inokom HD 500.

Sejak 2004, SDM sudah melabur lebih RM400 juta bagi meningkatkan keupayaan kilang pemasangan Inokom selain pelaburan berjumlah RM132 juta bagi membangunkan SDAE dengan kerjasama rakan perniagaan utamanya, BMW AG yang beroperasi pada Mei tahun lalu. -BERITA HARIAN

Link: https://www.bharian.com.my/bisnes/auto/2019/07/582103/inokom-tinjau-jadi-hab-pengeluaran-serantau