HAB JENAMA ASEAN

Kerja pemasangan kereta BMW, MINI, Mazda dan Hyundai yang dilakukan di kilang pemasangan Inokom di Kulim

KULIM: Sime Darby Motors Sdn Bhd (SDM) berunding dengan beberapa peserta automotif global untuk menjadi rakan hab pengeluaran serantau di kilang pemasangan syarikat 51 peratus miliknya, Inokom Corp Sdn Bhd dekat Kulim.

Pengarah Urusan Malaysia, Taiwan dan Thailand SDM, Dennis Ho berkata, syarikat itu mengadakan rundingan dengan lebih daripada dua peserta automotif terkenal dengan keputusan diketahui akhir tahun ini.

Katanya, jika rundingan dimuktamadkan, ia menjadi pencetus perubahan kepada pencapaian SDM, sekali gus membuka ruang kepada syarikat untuk meluaskan rangkaian pemasangan jenama automotif di Inokom.

“Rundingan bersama lebih dua jenama terkenal dunia masih diteruskan. Mereka memiliki rangkaian penuh produk yang berpotensi menjadikan kilang pemasangan Inokom sebagai hab pemasangan di ASEAN,” katanya pada lawatan media di kilang pemasangan Inokom, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Inokom, Mohd Rizal Jailan.

Mengulas lanjut, Ho berkata, SDM memiliki kepakaran dan keupayaan menjadi rakan pengeluaran automotif bersandarkan kemampuan dan kredibilitinya memasang beberapa model jenama terkemuka seperti BMW, MINI, Hyundai dan Mazda.

Katanya, SDM juga memiliki simpanan tanah belum dibangunkan berkeluasan 36.4 hektar bagi pembangunan masa depan dan bercadang menggunakan 20.2 hektar daripadanya sebagai kilang pemasangan baharu jika perjanjian dengan rakan automotif terbabit dimuktamadkan.

“Kilang pemasangan Inokom memiliki keluasan keseluruhan 80.9 hektar dengan 44.5 hektar dimajukan sebagai kilang pemasangan beberapa model dan kilang pemasangan enjin BMW oleh Sime Darby Auto Engineering (SDAE).

“Dalam masa tiga tahun akan datang, kami akan majukan 20.2 hektar simpanan tanah ini sebagai kilang pemasangan dan akan meningkatkan pelaburan sekiranya perjanjian dengan jenama automotif terkemuka dimeterai,” katanya.

Ketika ini, kilang pemasangan Inokom menghasilkan lapan model BMW iaitu 3 Series, 5 Series, 6 Series, 7 Series, X1, X3, X4 dan X5 serta satu model MINI iaitu Countryman.

Selain itu, kilang terbabit turut memasang kereta Hyundai termasuk model Elantra, Tucson dan IONIQ serta kenderaan utiliti sukan (SUV) Inokom Santa Fe.

Kilang itu juga memasang model Mazda CX-5 serta pernah memasang trak komersial Inokom Lorimas dan Inokom HD 500.

Link: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2019/07/473180/hab-jenama-asean