BERNAMA – Najib pengerusi Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan NCIA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mempengerusikan mesyuarat ke-11 Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Pada mesyuarat itu, empat syarikat pelbagai industri memeterai perjanjian kerjasama dengan nilai pelaburan RM1.93 bilion, untuk melaksanakan program pembangunan di negeri-negeri koridor utara yang terdiri daripada Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Mesyuarat yang berlangsung selama kira-kira satu setengah jam di aras tiga bangunan pejabat Perdana Menteri itu turut dihadiri Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri terbabit.

Pada akhir mesyuarat, Perdana Menteri menyaksikan pertukaran Dokumen kerjasama antara NCIA dengan Inokom Corporation Sdn Bhd bagi menjayakan program pembangunan di Kedah, Telekom Malaysia Bhd untuk pembangunan di Perlis, B.Braun Medical Industries Sdn Bhd di Pulau Pinang, dan Yayasan Kemajuan Sosial Sdn Bhd di Perak.

Pertukaran dokumen membabitkan syarikat-syarikat yang berasaskan sektor automotif, telekomunikasi, peralatan perubatan dan pertanian itu, menampakkan kesungguhan mereka dalam mengembangkan pelbagai perniagaan di negeri-negeri wilayah ini dengan membina banyak kilang-kilang dan penerokaan peluang-peluang baharu.

NCIA ialah sebuah pertubuhan yang diperbadankan di bawah Akta Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara 2008 yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan pembangunan sosioekonomi strategik di negeri-negeri di Koridor Utara.

Ia mempunyai visi untuk menjadikan koridor utara sebagai wilayah ekonomi bertaraf dunia menjelang 2025 dengan memfokuskan kepada penjanaan pelaburan dan pelaksanaan program pembangunan yang membawa nilai tambah menerusi empat sektor teras ekonomi utama iaitu Pertanian, Pembuatan, Pelancongan dan Logistik. – BERNAMA